Sunday 16 February 2014

Sebak - Kahwin segera dalam wad sebelum bapa pergi selamanya

Posted By: TTO Admin - 16.2.14

“Saya mempercepatkan majlis pernikahan saya, agar ayah dapat menyaksikannya walaupun beliau kini dirawat di Institut Kanser Negara (IKN),” kata pengantin perempuan Siti Azmira Abdul Aziz, 24.

Beliau ditanya kenapa beliau melangsungkan pernikahan di hospital.

“Menurut doktor, keadaan ayah saya sekarang sangat kritikal kerana kanser prostat. Doktor meramalkan ayah mungkin dapat bertahan sekurang-kurangnya sebulan lagi.

“Sehubungan itu kami sekeluarga membuat keputusan untuk mempercepatkan majlis pernikahan saya yang dijadualkan Ogos ini kepada hari ini,” katanya kepada Bernama di institut tersebut di Presint 7 di sini.

Beliau dan pasangannya Mohd Shahril Nahar, 26, dinikahkan Imam Masjid Putra, Rosmadi Saad kira-kira pukul 10.30 pagi di hadapan ayah Siti Azmira, Abdul Aziz Mohd Muzir, 77, di Wad Multi-Disiplin IKN.



Majlis ringkas itu dihadiri anggota keluarga terdekat termasuk ibu Siti Azmira, Shamsinar Ismail, 61, dan ibu bapa kepada pengantin lelaki Nahar Zainal Abdidin, 56, dan Hafsah Ab Ghani, 52.

Siti Azmira yang merupakan anak bongsu dari lapan adik beradik bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala Mohd Shahril juga bekerja di sebuah syarikat swasta di Seremban.

Abang Siti Azmira, Azizul Hisyam, 40, berkata bapa mereka pernah mendapat rawatan di hospital kerajaan tahun lepas tetapi kerana keadaan bapa mereka semakin kritikal, mereka sekeluarga memutuskan untuk menghantarnya ke IKN minggu lepas.

Beliau berkata mereka sekeluarga berterima kasih kepada pihak pengurusan IKN yang membenarkan majlis pernikahan itu diadakan di situ.

Mengenai perkenalannya dengan Siti Azmira, Mohd Shahril berkata pertemuan mereka bermula di laman sosial sejak 2008 yang selepas itu mereka selalu berhubung sehingga akhirnya memutuskan untuk berkahwin.

Beliau berharap bapa mentuanya sembuh dan terus panjang usia. – Bernama

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab