Monday 2 February 2015

Cerita Sebenar kejadian Gadis dikelar teman lelaki dalam kereta (2 Gambar)

Posted By: TTO Admin - 2.2.15

Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut dikelar teman lelakinya di dalam sebuah kereta di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Gantang, di sini.

Nur Syuhada Johari, pelajar tahun satu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar kira-kira jam 2 petang tadi selepas dipercayai dikelar di bahagian leher oleh teman lelakinya dalam kejadian di Kilometer 228.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di Bukit Gantang.

Saksi, Md Ikhbal Ahmad berkata, dalam kejadian jam 11.55 pagi itu, dia yang dalam perjalanan dari Pokok Assam ke Ipoh telah melihat sebuah kereta jenis Proton Perdana warna hitam diletakkan di bahu jalan lebuh raya.

Menurutnya, seorang perempuan dilihat keluar dari kereta terbabit melalui pintu pemandu dan kemudian jatuh di atas jalan.

“Dalam masa yang sama, kelihatan seorang lelaki turut keluar dari kereta berkenaan dan menarik mangsa ke bahagian tepi besi penghadang jalan.

“Namun selepas itu, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dan masuk ke hutan,” katanya dalam kenyataan kepada pasukan penyiasat hari ini.

Saksi bersama beberapa orang awam yang berhenti melihat kejadian tersebut mendapati ada kesan kelar pada leher mangsa dan tidak lama selepas itu kelihatan lelaki berkenaan muncul semula dan terus membuka pintu kereta dan mengambil sebuah telefon bimbit.

“Kedengaran lelaki berkenaan telah menelefon seseorang dan berkata, “minta maaf dan dia telah buat silap”,” katanya.

Mengulas lanjut, saksi berkenaan berkata, dia juga agak terkejut selepas mendengar lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata ‘’Dia tak mampus lagi ke?”



“Orang ramai yang berada di tempat kejadian juga mula curiga dengan lelaki berkenaan dan bertindak memukulnya lalu menyerahkannya kepada polis peronda yang sampai di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun itu disyaki mempunyai masalah mental dan telah berkawan dengan mangsa.

“Dalam masa yang sama, polis turut menjumpai sebilah pisau lipat yang dibuang mangsa di bawah bukit tepi lebuh raya.

“Suspek telahpun ditangkap dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Suspek dilaporkan berusia 25 tahun dan bekerja di Melaka. - MalaysiaGazette

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab